Tuesday, September 9, 2008

Doa beroleh rezeki




Fadilat Amal

DAN tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan. (Hud: 6)

Keterangan Ayat

Menurut sebuah hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a., beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy’ariyyin yang baru sampai dari perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka telah mengutuskan seorang daripada kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Rasulullah SAW.

Apabila wakil mereka sampai ke rumah Nabi, beliau mendengar Nabi SAW sedang membacakan ayat ini. Rasa yakin akan rezeki Allah menerusi ayat yang dibacakan oleh Nabi itu menyebabkannya pulang semula tanpa meminta. Sesampainya kepada sahabat-sahabat seperjalanannya, dia terus memaklumkan bahawa rezeki Allah akan sampai kepada mereka.

Mereka menyangka beliau telah membuat permintaan kepada Nabi. Tiba-tiba datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati sepuas-puasnya, namun masih banyak yang tinggal. Mereka akhirnya meminta agar dibawa pulang kepada Nabi untuk diagihkan kepada orang lain.

Selepas itu mereka berjumpa dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih atas hidangan lazat yang dihantarnya. Nabi menafikan penghantaran makanan itu. Sahabat yang berkenaan itu akhirnya telah membuat pengakuan tidak meminta daripada Nabi SAW. Nabi SAW kemudiannya mengatakan itulah dia rezeki yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6, surah Hud)

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Amalkan membaca ayat ini dengan penuh keyakinan akan bantuan Allah. Mintalah rezeki daripada-Nya. Dia berkuasa memberikan kurnia-Nya yang melimpah ruah.
(Petikan daripada buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran: Khasiat dan Kaifiat Beramal terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd)

No comments:

Post a Comment