Tuesday, March 31, 2009

Seni berkomunikasi dengan mereka yang tidak kita nampak

Entah tiba-tiba aku berasa hendak berkongsi pengalaman tentang bahan-bahan bacaan yang sedang aku dampingi. Buku terbaru dalam koleksi aku adalah berjudul "Berdialog Dengan Jin - Diari Seorang Perawat", terbitan Hijjaz Records Publishing. Agak menarik membaca pengalaman orang, dan buku ini ditulis sendiri oleh perawat berdasarkan pengalamannya. Di sini saya sisipkan sinopsis buku tersebut yang diambil verbatim dari laman blog penerbitnya Hijjaz Records Publishing.

Sinopsis:

Secara kolektifnya, masyarakat umum begitu taksub dan percaya dengan pelbagai kepercayaan tahyul dan cerita-cerita mistik dongeng sehingga adakalanya turut mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian kita. Hakikatnya, ALLAH SWT melalui firmanNYA di dalam Al-Quran dan Rasulullah saw melalui sabda-sabdanya telah menerangkan kepada kita secara terperinci mengenai kejadian makhluk halus ini.

Buku ‘Dialog Dengan Jin – Diari Seorang Perawat’ ini adalah satu lagi koleksi istimewa di dalam rangkaian buku terbitan HRP. Mengapa? Sudah pasti kerana buku ini mencatatkan pelbagai perjalanan dan pengalaman peribadi penulis yang juga merupakan seorang perawat ketika berhadapan dengan makhluk halus yang mengganggu manusia.

Penerbitan buku ini sama sekali tidak bermaksud untuk menakut-nakutkan pembaca. Malah jika diteliti sehalusnya, ia mengandungi pelbagai ilmu yang amat bermanfaat untuk membentengi diri kita dari diganggu oleh kelompok jin dan syaitan ini.

Ustaz Abd. Majid Hassan pernah muncul di rancangan Expose Mistik siaran untuk Astro Prima ketika merawat salah seorang pesakitnya. Malah ramai lagi pesakit yang dirawat oleh beliau diceritakan di dalam buku ini untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman. Buku ini sarat dengan info, tips juga cara-cara untuk membenteng diri dari serangan makhluk halus dan sihir. Semua teknik yang terkandung di dalam buku ini hanya sebagai panduan. Namun iktikad kita mestilah disandarkan semata-mata kepada ALLAH SWT.

-Penerbit

Pengalaman penulis buku tersebut, Ustaz Abd. Majid Hassan ditulis dengan bahasa Melayu yang mudah difahami namun kadang-kadang terdapat juga bahan-bahan petikan yang beliau ambil dari Indonesia yang tidak diubah struktur ayat dan bahasanya. Jangan risau itu hanya sisipan.

Beliau turut bercerita dan menghebahkan aktiviti pusat rawatannya di laman blog beliau.

Terasa Maha Hebatnya Allah, bukan setakat diciptaNya makhluk ditepi kita yang kita nampak, tetapi ada juga ciptaanNya di tepi, depan, belakang, dalam, atas dan bawah yang tidak kita nampak. Allahu akbar!



Friday, March 20, 2009

Kuasa pengiklanan dalam perniagaan

Masih cerita mengenai Penang. Orang Penang lah katakan. Penang ni pernah diberi gelaran `syurga makanan' Malaysia, tidak tahu statusnya sekarang. Masih `syurga makanan' atau sebaliknya.

Alhamdulillah kerana makananlah agaknya, anak saudaraku yang terkini Uwais semakin `bersemangat' tubuhnya tidak sepadan usianya. Muhammad Uwais Qarni bin Mohd. Hafiz, anak Mah, kalau kelaparan seluruh isi rumah boleh mendengar `isyaratnya'.


Berbalik kepada cerita tentang `syurga makanan' Malaysia. Semasa dalam perjalanan pulang ke KL, sempat kami singgah untuk pekena Char Koew Teow di Sungai Dua. Boleh tahan sedapnya, tetapi yang lebih menarik perhatian kami ialah signboard nya. Moga ia menjadi panduan kepada semua pengusaha makanan, kedai runcit, kedai dobi dan sebagainya agar tidak memandang enteng kepada kuasa signboard.

Muslim yang sejati sentiasa memikirkan makan-minum yang menjadi darah dagingnya. Ini memberi ruang kepada pengusaha Muslim yang prihatin agar untuk menghebah, mengiklan dan memberitahu kepada semua pelanggan tidak kira Muslim ataupun non-Muslim, bahawa kedainya bukan setakat menyediakan makanan halal tetapi juga baik. Halalan Thoiyyiba.


Oleh itu, gunakan kelebihan yang ada pada marketing tools. Sama ada flyers, banner, signboard, brochure, newsletter, iklan radio, iklan TV, internet, cakap mulut, gossip dan sebagainya. Hebahkan kelebihan perusahaan kita, walaupun kita menyangkakan semua orang tahu, tetapi tidak semua orang tahu. Kita menyangkakan kedai XYZ membuang isi dan kepala ikan bilis dalam sajian nasi lemaknya, tetapi siapa tahu rupanya tidak!

Wednesday, March 18, 2009

Dari Dia Kita Datang..

KepadaNya jua kita kembali.. Salam takziah buat adik iparku Maria yang baru kehilangan seketika bondanya tercinta, InsyaAllah kita semua akan bertemu kembali abadan-abada pada perhimpunan agung kelak. Itu janji Tuhan.

Bondanya pergi meninggalkan dunia yang sekejap ini pada malam tadi kira-kira jam 8.40 malam kerana sakit tua. Didoakan semoga rohnya dirahmatiNya dan ditempatkan bersama-sama golongan Solihin wal Faizin. Amin.

Sunday, March 15, 2009

Lawatan Sambil Belajar

Tidak perlu memeningkan kepala untuk memahami bagaimana stimulus package dapat membantu rakyat dalam kegawatan ekonomi yang paling dahsyat dalam milenia ini. Dalam diam tak diam, otak aku ini sempat juga mengingat subjek Mikroekonomi yang diajar dulu tatkala dunia sekarang memerlukan pelbagai `rangsangan ’ untuk kembali bernyawa.

Program kursus dalaman yang dianjurkan di Pulau Pinang baru-baru ini betul-betul menyedarkan aku bahawa peri pentingnya galakan untuk berbelanja dalam negeri. Mari kita menyusuri dari awal program bagaimana perbelanjaan kami mudah-mudahan dapat membantu para usahawan tempatan mengisi kantung mereka.

Pemilihan agen pelancongan sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membantu kami melancarkan aturcara program. 2-3 orang staf mereka pun sentiasa bersenyuman manis melayan karenah kami segerombolan. Hotel yang dipilih di tepi pantai Batu Feringghi pun memberikan pengalaman yang menarik bagi kami. Daripada bell-boy, receptionist, chef sehinggalah kepada operator aktiviti horse riding, tentu senang hati apabila poket `masyuk’. Ditambah pula apabila gerombolan kami ini bersiar-siar bersama keluarga masing-masing. Maka singgahlah mereka untuk mengisi perut di kedai nasi kandar, mi udang ataupun char koew teow. Sebagai tanda memori, kedai cenderamata harus disinggah, menaiki kereta kabel ke Bukit Bendera ataupun menaiki feri.

Itu semua menjana ekonomi. Walaupun ianya dalam skala yang `ciput’ aku berharap mudah-mudahan Allah s.w.t menerima ibadah kami itu. Di samping bertujuan untuk menjana ekonomi, kos yang dibayar juga sebenarnya untuk membeli keseronokan, ketenangan dan kesejahteraan kepada kakitangan kami dan mereka yang terlibat dengan akitiviti ekonomi bukan mega ini. Harapan aku, sesiapa yang mendapat sesuatu yang `mega’, sebarluaskanlah ia agar rahmatnya turut dirasai oleh khalayak ramai. Amin.