Wednesday, July 1, 2009

Indahnya hidup berkumpulan

Memang benar, setiap daripada kita perlu hidup berjemaah. Tidak boleh hidup bersendirian, hatta manusia pun dicipta berpasang-pasangan. Jemaah membawa kekuatan bila semua anggota bersatu padu, kerja berpasukan, memberi pendapat malah juga berbeza pendapat.

Semangat itulah yang kami rasa baru-baru ini sepanjang penglibatan kami dalam satu kejohanan bolasepak di Perai, Pulau Pinang. Untuk membina satu pasukan bolasepak, semua ahli pasukan menjalankan peranan masing-masing tidak kira pangkat atau jawatan dalam organisasi kerja. Begitu juga dengan pasukan sorak atau lebih enak didengar dengan kelab penyokong. Semuanya disumbat dalam satu bas, tidak kira para pemain mahupun para penyokong.

Itu yang aku rasakan muhibah dalam skala yang kecil. Muhibbah dalam skala lebih besar dapat aku rasakan bila setiap pasukan sudah bersedia di gelanggang yang menghimpunkan para amil zakat hampir seluruh Malaysia. Ukhuwah bukan setakat di padang, di bilik mesyuarat (mesyuarat tidak rasmi para `bos' ) malah ketika menjamu selera terutamanya ketika pihak tuan rumah menghidangkan `raja buah' untuk santapan kami. Saat yang tidak harus dilepaskan walaupun untuk mencuit hanya seulas durian. Sememangnya sukan membawa perpaduan, walaupun pasukan kami selalu berjaya memenangkan pasukan lawan dalam setiap perlawanan.

Tidak ketinggalan aku ucapkan tahniah kepada rakan se`jamiah' Mior Radzman yang baru sahaja hidup berjemaah.. Barakallahu lakum, semoga kalian diberkati Allah.