Saturday, July 7, 2012

Nikmat Sakit

Pada tahun 2005 aku didiagnos mengalami sakit sendi atau bahasa perubatannya disebut Arthritis. Dikhabarkan Arthritis ini mengandungi lebih daripada 100 jenis penyakit di dalamnya seperti Gout, Osteoarthtritis, Psoriatic Arthritis, Rheumatoid Arthritis dan pelbagai lagi. Aku pula mengalami Ankylosing Spondilitis atau lebih popular disebut AS di kalangan pengamal perubatan, Rheumatologist terutamanya.

Sakit sendi ini sebenarnya telah menyerang aku ketika berumur 13 tahun. Terima kasih kepada mak & bapak yang bersusah payah membawa aku pergi merawat secara moden, komplementari mahupun tradisional. Sekarang bila aku sudah besar dan bekerja, Alhamdulillah aku berkesempatan menjalani rawatan sendiri.

Penyakit ini mempunyai mood nya tersendiri untuk datang menyerang. Hampir 2-3 tahun ia tidak menyerang, tetapi tahun ini ia menyerang dengan bala tenteranya yang membuatkan aku MC hampir tiga minggu. Terima kasih kepada isteri Adinda Elin, keluarga dan rakan-rakan yang memahami dan memberi sokongan. Tahun ini juga aku dalam proses untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, Hospital Putrajaya setelah pelbagai pertimbangan dibuat.

Teringin juga aku bercerita panjang mengenai AS ini tetapi insyaAllah di lain waktu kerana keutamaan aku kali ini ingin berkongsi mengenai nikmat Allah yang tidak ternilai iaitu SAKIT.

Sakit membuatkan kita beringat. Kadangkala nikmat material lain yang Allah kurniakan seperti harta, pangkat dan ilmu membuatkan kita ghalit untuk mengingatiNya. Kita akan cepat-cepat mengingatiNya bila ditimpa sakit.

Sakit boleh memberi peringatan kepada kita apakah yang telah kita lakukan dengan anggota-anggota tubuh ini semasa kita sihat. Seolah-olah tatkala sakit Allah berbisik kepada kita, "Aku Tuhan yang menciptakanmu boleh menarik balik nikmat anggota tubuh badanmu pada bila-bila masa sahaja."

Sakit juga boleh membuahkan rasa bangga dan teruja terhadap golongan yang bertungkus-lumus siang dan malam berusaha untuk menyembuhkan penyakit. Antaranya ialah para doktor dan jururawat yang selama ini banyak membantu aku. Aku mula terfikir kerjaya doktor dan jururawat ini paling mudah meraih pahala Allah jika diniatkan membantu para pesakit ini adalah ibadah kerana Allah.

Suka aku berpesan pada semua jangan sesekali menyesal jika sakit. Di samping berikhtiar gigih mencari penawarnya tekadkan sepenuh pengharapan kepadaNya yang membawa dan menghilangkan penyakit, InsyaAllah!

Ubat Adalimumab berjenama Humira adalah perubatan jenis biologik yang  terkini dalam mengawal AS