Thursday, August 13, 2009

Kejar sampai dapat walaupun yang dikendong berciciran.. Jangan risau, kutiplah semula.

Jangan dipandang enteng pada kepesatan teknologi masakini, silap-silap keyakinan anda untuk memenangi pilihanraya kelak akan dinafikan dalam sekelip mata dek lawan mempunyai pelbagai laman web, blog dan laman sosial yang boleh menyebarkan propaganda, provokasi mahupun manifesto dalam sekelip mata.

Begitu juga restoran anda yang dahulunya sesak dengan pelanggan, kini semakin susut bilangannya kerana kealpaan mahupun ke`tidak-kisahan' anda dengan kepentingan teknologi. Bukannya apa, anda hanya tidak sempat membina blog lebih awal, mendaftar dalam network list, mahupun mendaftar dalam Facebook. Semua ini direbut awal oleh pesaing anda untuk menguar-uarkan menu baru dan tawaran diskaun kepada para pelanngannya, juga mengupah `penulis upahan' untuk menulis serta mempromosi habis-habisan dalam laman jaringan sosialnya, forum-forum atau blog.

Inilah di antara penangan media baru dalam kehidupan kita seharian yang semakin hari semakin mengikis fungsi surat khabar dan televisyen. Surat cinta melalui kiriman pos bersetem, usah dicerita lagi. Kedatangan seorang yang ahli dalam bidang media baru ini, Dr. Hassan Hayastani, ke pejabat kami untuk berkongsi ilmu pada minggu lepas amat memuaskan hati semua. Puas hati kerana masing-masing dapat menadah ilmu yang disampaikan secara santai tapi berkesan.

Banyak yang tidak sempat dicoret pada pertemuan hampir tiga jam itu. Namun satu pernyataan yang sempat aku coret adalah kehadiran media baru ini berupaya mengurangkan `dosa' sesiapa yang selalu banyak bercakap. Para penceramah, businessman, motivator, MLM leader, DJ radio malah sesiapa sahaja yang mahu bercakap, harus berhati-hati untuk tidak menipu pendengar kerana maklumat dapat diakses dengan mudah di hujung jari. Kepantasannya usah disangkal. Itu yang terjadi pada rangkaian CNN pada hari kematian Michael Jackson, apabila kepantasan berita yang tersebar melalui internet lebih pantas dari berita mereka menyebabkan berita kematiannya tidak lagi menjadi outbreak di CNN.

Para usahawan terutamanya, sama ada penjual kain, nasi lemak, VCD, keropok lekor, atau tukang cerita, jangan abaikan makhluk Allah bernama teknologi ini. Sebagai permulaan kita hanya memerlukan secebis rasa ambil-tahu untuk turut serta dalam `marathon' di lebuh raya yang terbentang luas ini. Selanjutnya hanya memerlukan komitmen untuk stay-connected kerana handset sekarang sudah dapat mengambil alih fungsi komputer, kamera video, cermin dan juga lampu suluh.


Setelah sesi berbagi ilmu, sesi menumpang `glamer' pula bersama ikon Awani Prof.Dr. Abu Hassan Hasbullah (Hassan Hayastani)

Wednesday, July 1, 2009

Indahnya hidup berkumpulan

Memang benar, setiap daripada kita perlu hidup berjemaah. Tidak boleh hidup bersendirian, hatta manusia pun dicipta berpasang-pasangan. Jemaah membawa kekuatan bila semua anggota bersatu padu, kerja berpasukan, memberi pendapat malah juga berbeza pendapat.

Semangat itulah yang kami rasa baru-baru ini sepanjang penglibatan kami dalam satu kejohanan bolasepak di Perai, Pulau Pinang. Untuk membina satu pasukan bolasepak, semua ahli pasukan menjalankan peranan masing-masing tidak kira pangkat atau jawatan dalam organisasi kerja. Begitu juga dengan pasukan sorak atau lebih enak didengar dengan kelab penyokong. Semuanya disumbat dalam satu bas, tidak kira para pemain mahupun para penyokong.

Itu yang aku rasakan muhibah dalam skala yang kecil. Muhibbah dalam skala lebih besar dapat aku rasakan bila setiap pasukan sudah bersedia di gelanggang yang menghimpunkan para amil zakat hampir seluruh Malaysia. Ukhuwah bukan setakat di padang, di bilik mesyuarat (mesyuarat tidak rasmi para `bos' ) malah ketika menjamu selera terutamanya ketika pihak tuan rumah menghidangkan `raja buah' untuk santapan kami. Saat yang tidak harus dilepaskan walaupun untuk mencuit hanya seulas durian. Sememangnya sukan membawa perpaduan, walaupun pasukan kami selalu berjaya memenangkan pasukan lawan dalam setiap perlawanan.

Tidak ketinggalan aku ucapkan tahniah kepada rakan se`jamiah' Mior Radzman yang baru sahaja hidup berjemaah.. Barakallahu lakum, semoga kalian diberkati Allah.



Monday, May 18, 2009

Muqabalah Menjalin Silaturrahim Melerai Kekusutan

Minggu lepas teman-teman di pejabat dengan kerjasama pihak pengurusan berpeluang mengadakan pertemuan dua hala dengan pihak pelatihan ESQ. Segalanya bermula pada awal bulan ini apabila kami seluruh kakitangan berpeluang menghadiri latihan asas ESQ yang rata-ratanya ramai ahli masyarakat sudah maklum mengenai kursus atau latihan ini. Latihan selama 3 hari itu cukup memberi kelainan, iyalah manakan mungkin ada persamaan pada latihan yang pernah aku hadiri.

Pertemuan dua hala ini lebih sesuai aku namakan muqabalah, satu pertemuan yang mengadakan perbincangan dua hala dengan penuh cermat, semangat ukhuwah dan lebih menjurus kepada ziarah lepas pelatihan serta memberi respon terhadap sebarang kekusutan yang timbul semasa dan selepas latihan. Pertemuan yang tidak debate-like Muzakarah amat dipuji oleh pihak pengurusan ESQ kerana amat jarang sesebuah organisasi menjemput semula pihak ESQ untuk mendengar maklumbalas-maklumbalas dari para peserta mengenai outer & inner journey mereka sepanjang latihan.

Tuesday, March 31, 2009

Seni berkomunikasi dengan mereka yang tidak kita nampak

Entah tiba-tiba aku berasa hendak berkongsi pengalaman tentang bahan-bahan bacaan yang sedang aku dampingi. Buku terbaru dalam koleksi aku adalah berjudul "Berdialog Dengan Jin - Diari Seorang Perawat", terbitan Hijjaz Records Publishing. Agak menarik membaca pengalaman orang, dan buku ini ditulis sendiri oleh perawat berdasarkan pengalamannya. Di sini saya sisipkan sinopsis buku tersebut yang diambil verbatim dari laman blog penerbitnya Hijjaz Records Publishing.

Sinopsis:

Secara kolektifnya, masyarakat umum begitu taksub dan percaya dengan pelbagai kepercayaan tahyul dan cerita-cerita mistik dongeng sehingga adakalanya turut mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian kita. Hakikatnya, ALLAH SWT melalui firmanNYA di dalam Al-Quran dan Rasulullah saw melalui sabda-sabdanya telah menerangkan kepada kita secara terperinci mengenai kejadian makhluk halus ini.

Buku ‘Dialog Dengan Jin – Diari Seorang Perawat’ ini adalah satu lagi koleksi istimewa di dalam rangkaian buku terbitan HRP. Mengapa? Sudah pasti kerana buku ini mencatatkan pelbagai perjalanan dan pengalaman peribadi penulis yang juga merupakan seorang perawat ketika berhadapan dengan makhluk halus yang mengganggu manusia.

Penerbitan buku ini sama sekali tidak bermaksud untuk menakut-nakutkan pembaca. Malah jika diteliti sehalusnya, ia mengandungi pelbagai ilmu yang amat bermanfaat untuk membentengi diri kita dari diganggu oleh kelompok jin dan syaitan ini.

Ustaz Abd. Majid Hassan pernah muncul di rancangan Expose Mistik siaran untuk Astro Prima ketika merawat salah seorang pesakitnya. Malah ramai lagi pesakit yang dirawat oleh beliau diceritakan di dalam buku ini untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman. Buku ini sarat dengan info, tips juga cara-cara untuk membenteng diri dari serangan makhluk halus dan sihir. Semua teknik yang terkandung di dalam buku ini hanya sebagai panduan. Namun iktikad kita mestilah disandarkan semata-mata kepada ALLAH SWT.

-Penerbit

Pengalaman penulis buku tersebut, Ustaz Abd. Majid Hassan ditulis dengan bahasa Melayu yang mudah difahami namun kadang-kadang terdapat juga bahan-bahan petikan yang beliau ambil dari Indonesia yang tidak diubah struktur ayat dan bahasanya. Jangan risau itu hanya sisipan.

Beliau turut bercerita dan menghebahkan aktiviti pusat rawatannya di laman blog beliau.

Terasa Maha Hebatnya Allah, bukan setakat diciptaNya makhluk ditepi kita yang kita nampak, tetapi ada juga ciptaanNya di tepi, depan, belakang, dalam, atas dan bawah yang tidak kita nampak. Allahu akbar!



Friday, March 20, 2009

Kuasa pengiklanan dalam perniagaan

Masih cerita mengenai Penang. Orang Penang lah katakan. Penang ni pernah diberi gelaran `syurga makanan' Malaysia, tidak tahu statusnya sekarang. Masih `syurga makanan' atau sebaliknya.

Alhamdulillah kerana makananlah agaknya, anak saudaraku yang terkini Uwais semakin `bersemangat' tubuhnya tidak sepadan usianya. Muhammad Uwais Qarni bin Mohd. Hafiz, anak Mah, kalau kelaparan seluruh isi rumah boleh mendengar `isyaratnya'.


Berbalik kepada cerita tentang `syurga makanan' Malaysia. Semasa dalam perjalanan pulang ke KL, sempat kami singgah untuk pekena Char Koew Teow di Sungai Dua. Boleh tahan sedapnya, tetapi yang lebih menarik perhatian kami ialah signboard nya. Moga ia menjadi panduan kepada semua pengusaha makanan, kedai runcit, kedai dobi dan sebagainya agar tidak memandang enteng kepada kuasa signboard.

Muslim yang sejati sentiasa memikirkan makan-minum yang menjadi darah dagingnya. Ini memberi ruang kepada pengusaha Muslim yang prihatin agar untuk menghebah, mengiklan dan memberitahu kepada semua pelanggan tidak kira Muslim ataupun non-Muslim, bahawa kedainya bukan setakat menyediakan makanan halal tetapi juga baik. Halalan Thoiyyiba.


Oleh itu, gunakan kelebihan yang ada pada marketing tools. Sama ada flyers, banner, signboard, brochure, newsletter, iklan radio, iklan TV, internet, cakap mulut, gossip dan sebagainya. Hebahkan kelebihan perusahaan kita, walaupun kita menyangkakan semua orang tahu, tetapi tidak semua orang tahu. Kita menyangkakan kedai XYZ membuang isi dan kepala ikan bilis dalam sajian nasi lemaknya, tetapi siapa tahu rupanya tidak!

Wednesday, March 18, 2009

Dari Dia Kita Datang..

KepadaNya jua kita kembali.. Salam takziah buat adik iparku Maria yang baru kehilangan seketika bondanya tercinta, InsyaAllah kita semua akan bertemu kembali abadan-abada pada perhimpunan agung kelak. Itu janji Tuhan.

Bondanya pergi meninggalkan dunia yang sekejap ini pada malam tadi kira-kira jam 8.40 malam kerana sakit tua. Didoakan semoga rohnya dirahmatiNya dan ditempatkan bersama-sama golongan Solihin wal Faizin. Amin.

Sunday, March 15, 2009

Lawatan Sambil Belajar

Tidak perlu memeningkan kepala untuk memahami bagaimana stimulus package dapat membantu rakyat dalam kegawatan ekonomi yang paling dahsyat dalam milenia ini. Dalam diam tak diam, otak aku ini sempat juga mengingat subjek Mikroekonomi yang diajar dulu tatkala dunia sekarang memerlukan pelbagai `rangsangan ’ untuk kembali bernyawa.

Program kursus dalaman yang dianjurkan di Pulau Pinang baru-baru ini betul-betul menyedarkan aku bahawa peri pentingnya galakan untuk berbelanja dalam negeri. Mari kita menyusuri dari awal program bagaimana perbelanjaan kami mudah-mudahan dapat membantu para usahawan tempatan mengisi kantung mereka.

Pemilihan agen pelancongan sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membantu kami melancarkan aturcara program. 2-3 orang staf mereka pun sentiasa bersenyuman manis melayan karenah kami segerombolan. Hotel yang dipilih di tepi pantai Batu Feringghi pun memberikan pengalaman yang menarik bagi kami. Daripada bell-boy, receptionist, chef sehinggalah kepada operator aktiviti horse riding, tentu senang hati apabila poket `masyuk’. Ditambah pula apabila gerombolan kami ini bersiar-siar bersama keluarga masing-masing. Maka singgahlah mereka untuk mengisi perut di kedai nasi kandar, mi udang ataupun char koew teow. Sebagai tanda memori, kedai cenderamata harus disinggah, menaiki kereta kabel ke Bukit Bendera ataupun menaiki feri.

Itu semua menjana ekonomi. Walaupun ianya dalam skala yang `ciput’ aku berharap mudah-mudahan Allah s.w.t menerima ibadah kami itu. Di samping bertujuan untuk menjana ekonomi, kos yang dibayar juga sebenarnya untuk membeli keseronokan, ketenangan dan kesejahteraan kepada kakitangan kami dan mereka yang terlibat dengan akitiviti ekonomi bukan mega ini. Harapan aku, sesiapa yang mendapat sesuatu yang `mega’, sebarluaskanlah ia agar rahmatnya turut dirasai oleh khalayak ramai. Amin.















Sunday, February 1, 2009

Tempat jatuh lagikan dikenang..

Rasanya baru semalam tiba di sini, sudah hendak pulang. Itulah yang aku rasakan bila sudah menjejak kaki di bumi Labuan ini. Tugasan aku kali ini di Labuan mengimbau kembali ketika aku bersama Syaiful dihantar ke sini sebagai 'peneroka' pada tahun 2004 yang lalu. Dalam diam tak diam aku pun tidak menyedari hampir 5 tahun sudah pengalaman itu berlalu.

Masa berasa begitu singkat. Itulah petanda akhir zaman. Teringat juga aku sewaktu kecil dahulu selepas solat Maghrib bapak selalu `membaca kitab' pada kami. Antaranya kitab Ihya Ulumuddin dan Tanbihul Ghafilin. Ada ceritanya yang pada suatu masa kelak perjalanan manusia dari satu destinasi ke satu detinasi sudah semakin singkat dengan menggunakan burung besi. Pada zaman itu juga laut sudah seakan sejengkal sahaja dalamnya. Itulah sebahagian tanda akhir zaman. Maksudnya, manusia bebas bergerak dengan cepat hasil kemajuan teknologi pengangkutan udara, darat mahupun laut.

Dengan `burung besi' itulah juga yang akan membawaku pulang kembali ke KL petang ini. InsyaAllah.

Friday, January 30, 2009

Perhimpunan aman adik-beradik

Sudah lama rasanya aku tidak mencoret di halaman ini, coretan terakhir pun dibuat pada tahun lepas. Lama tuh. Memang betul kata orang, makhluk namanya manusia ini jika diberi berpuluh-puluh jam sebagai tambahan 24 jam sehari pun tidak akan cukup. Sibuk memanjang.

Alhamdulillah pada ketika dan saat ini aku diberi nafas untuk mencoret lagi di ruangan ini. Ada sedikit kelegaan pada waktu ini.

Kelegaan ini sedikit sebanyak didorong juga oleh kehadiran adik-adik yang datang secara mengejut ke KL semalam. Kata Hafidz sengaja untuk beri surprise balik kota. Ceh! Ingatkan orang kota sahaja yang boleh buat surprise balik kampung. Kehadiran Hafidz, Jiha, Basit dan rakannya Miqdad sememangnya membawa sedikit kelegaan apabila kesemuanya dapat berhimpun sambil makan dan bercerita. Perhimpunan ini tidak perlukan permit walaupun kadangkala suara-suara yang keluar menyamai atau lebih berapi nadanya dari penceramah politik atau penjual ubat.

Banyak cerita yang diceritakan pada malam itu sambil menyantap hidangan di RasaMas Alamanda, restoran makanan segera milik QSR Brands Bhd, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato' Muhammad Ali bin Hashim, pelaung utama saranan jihad bisnes di tahanair. Antara cerita yang senang dikongsikan ialah pengalaman Adinda Elin & Hafidz didatangi hamba Allah yang pada mulanya tidak dikenali dan sehingga ke sudahnya pun tidak kenali. Dia datang, menyapa dan terus meninggalkan seribu tanya.

Kisah Adinda Elin pada suatu hari yang penuh dugaan dan cabaran di tempat kerjanya. Baik datangnya dari rakan sekerja mahupun kerja itu sendiri. Diringkaskan cerita, pada malam tersebut setelah selesai solat Isya' di Masjid Negara, hujan masih renyai-renyai dan para jemaah pun sudah mula beransur pulang. Tidak semena-mena dalam kesedihan Adinda Elin mengadu kepadaNya, datang seorang perempuan yang agak berumur berpakaian serba kuning menegurnya. Seolah-olah tahu apa yang terjadi kepada Adinda Elin seharian, diringkaskan lagi cerita beliau menyuruh Adinda Elin, `pulang kerana hari dah gelap, bersabar, cuba lagi dan semoga bertemu lagi'.

Pelik dan sukar difahami bukan? Pelik dan pening lagi Adinda Elin dibuatnya. Maha Agung dan Hebatnya Allah, hanya Dia yang Maha Pakar lagi Mengetahui. Alhamdulillah, keesokan harinya di tempat kerja Adinda Elin dapat berkerja dengan gembira, masalah kelmarin dengan rakan sekerja dan kerjanya sudah selesai. Malah beliau mendapat berita gembira (mudah-mudahan) dari pihak pengurusan syarikatnya. Apa beritanya? Nantilah saya beritahu di lain waktu.

Cerita Hafidz pun lebih kurang serupa. Kisahnya juga berlaku di masjid tapi kali ini di Masjid At-Taqwa Kepala Batas. Pelbagai perasaan bercampur baur ketika menghadapi cabaran menjadi finalis Cari Menantu TV9 yang lalu. Juga selepas solat Isya', dalam situasi yang lebih kurang sama dialami oleh kakak iparnya, Hafidz didatangi oleh seorang lelaki berpakaian serba putih dan berwajah jernih. Diringkaskan cerita, beliau memberi panduan kepada Hafidz agar membetulkan niat, seterusnya menjadikan program tersebut sebagai platform untuk berdakwah dalam meraih keberkatanNya. Kehadiran lelaki tersebut turut disedari beberapa orang jemaah namun akhirnya terus meninggalkan misteri kerana tiada sesiapapun yang mengenalinya.

Begitulah kisahnya. Peristiwa yang kadang-kadang berlaku dalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari bahawa setiap nafas yang dihela mempunyai asbab musabab tersendiri. Semuanya mempunyai hikmah, dirancang rapi oleh Maha Perancang. Hebat sungguh Dia.