Friday, January 30, 2009

Perhimpunan aman adik-beradik

Sudah lama rasanya aku tidak mencoret di halaman ini, coretan terakhir pun dibuat pada tahun lepas. Lama tuh. Memang betul kata orang, makhluk namanya manusia ini jika diberi berpuluh-puluh jam sebagai tambahan 24 jam sehari pun tidak akan cukup. Sibuk memanjang.

Alhamdulillah pada ketika dan saat ini aku diberi nafas untuk mencoret lagi di ruangan ini. Ada sedikit kelegaan pada waktu ini.

Kelegaan ini sedikit sebanyak didorong juga oleh kehadiran adik-adik yang datang secara mengejut ke KL semalam. Kata Hafidz sengaja untuk beri surprise balik kota. Ceh! Ingatkan orang kota sahaja yang boleh buat surprise balik kampung. Kehadiran Hafidz, Jiha, Basit dan rakannya Miqdad sememangnya membawa sedikit kelegaan apabila kesemuanya dapat berhimpun sambil makan dan bercerita. Perhimpunan ini tidak perlukan permit walaupun kadangkala suara-suara yang keluar menyamai atau lebih berapi nadanya dari penceramah politik atau penjual ubat.

Banyak cerita yang diceritakan pada malam itu sambil menyantap hidangan di RasaMas Alamanda, restoran makanan segera milik QSR Brands Bhd, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato' Muhammad Ali bin Hashim, pelaung utama saranan jihad bisnes di tahanair. Antara cerita yang senang dikongsikan ialah pengalaman Adinda Elin & Hafidz didatangi hamba Allah yang pada mulanya tidak dikenali dan sehingga ke sudahnya pun tidak kenali. Dia datang, menyapa dan terus meninggalkan seribu tanya.

Kisah Adinda Elin pada suatu hari yang penuh dugaan dan cabaran di tempat kerjanya. Baik datangnya dari rakan sekerja mahupun kerja itu sendiri. Diringkaskan cerita, pada malam tersebut setelah selesai solat Isya' di Masjid Negara, hujan masih renyai-renyai dan para jemaah pun sudah mula beransur pulang. Tidak semena-mena dalam kesedihan Adinda Elin mengadu kepadaNya, datang seorang perempuan yang agak berumur berpakaian serba kuning menegurnya. Seolah-olah tahu apa yang terjadi kepada Adinda Elin seharian, diringkaskan lagi cerita beliau menyuruh Adinda Elin, `pulang kerana hari dah gelap, bersabar, cuba lagi dan semoga bertemu lagi'.

Pelik dan sukar difahami bukan? Pelik dan pening lagi Adinda Elin dibuatnya. Maha Agung dan Hebatnya Allah, hanya Dia yang Maha Pakar lagi Mengetahui. Alhamdulillah, keesokan harinya di tempat kerja Adinda Elin dapat berkerja dengan gembira, masalah kelmarin dengan rakan sekerja dan kerjanya sudah selesai. Malah beliau mendapat berita gembira (mudah-mudahan) dari pihak pengurusan syarikatnya. Apa beritanya? Nantilah saya beritahu di lain waktu.

Cerita Hafidz pun lebih kurang serupa. Kisahnya juga berlaku di masjid tapi kali ini di Masjid At-Taqwa Kepala Batas. Pelbagai perasaan bercampur baur ketika menghadapi cabaran menjadi finalis Cari Menantu TV9 yang lalu. Juga selepas solat Isya', dalam situasi yang lebih kurang sama dialami oleh kakak iparnya, Hafidz didatangi oleh seorang lelaki berpakaian serba putih dan berwajah jernih. Diringkaskan cerita, beliau memberi panduan kepada Hafidz agar membetulkan niat, seterusnya menjadikan program tersebut sebagai platform untuk berdakwah dalam meraih keberkatanNya. Kehadiran lelaki tersebut turut disedari beberapa orang jemaah namun akhirnya terus meninggalkan misteri kerana tiada sesiapapun yang mengenalinya.

Begitulah kisahnya. Peristiwa yang kadang-kadang berlaku dalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari bahawa setiap nafas yang dihela mempunyai asbab musabab tersendiri. Semuanya mempunyai hikmah, dirancang rapi oleh Maha Perancang. Hebat sungguh Dia.

No comments:

Post a Comment