Jangan dipandang enteng pada kepesatan teknologi masakini, silap-silap keyakinan anda untuk memenangi pilihanraya kelak akan dinafikan dalam sekelip mata dek lawan mempunyai pelbagai laman web, blog dan laman sosial yang boleh menyebarkan propaganda, provokasi mahupun manifesto dalam sekelip mata.
Begitu juga restoran anda yang dahulunya sesak dengan pelanggan, kini semakin susut bilangannya kerana kealpaan mahupun ke`tidak-kisahan' anda dengan kepentingan teknologi. Bukannya apa, anda hanya tidak sempat membina blog lebih awal, mendaftar dalam network list, mahupun mendaftar dalam Facebook. Semua ini direbut awal oleh pesaing anda untuk menguar-uarkan menu baru dan tawaran diskaun kepada para pelanngannya, juga mengupah `penulis upahan' untuk menulis serta mempromosi habis-habisan dalam laman jaringan sosialnya, forum-forum atau blog.
Inilah di antara penangan media baru dalam kehidupan kita seharian yang semakin hari semakin mengikis fungsi surat khabar dan televisyen. Surat cinta melalui kiriman pos bersetem, usah dicerita lagi. Kedatangan seorang yang ahli dalam bidang media baru ini, Dr. Hassan Hayastani, ke pejabat kami untuk berkongsi ilmu pada minggu lepas amat memuaskan hati semua. Puas hati kerana masing-masing dapat menadah ilmu yang disampaikan secara santai tapi berkesan.
Banyak yang tidak sempat dicoret pada pertemuan hampir tiga jam itu. Namun satu pernyataan yang sempat aku coret adalah kehadiran media baru ini berupaya mengurangkan `dosa' sesiapa yang selalu banyak bercakap. Para penceramah, businessman, motivator, MLM leader, DJ radio malah sesiapa sahaja yang mahu bercakap, harus berhati-hati untuk tidak menipu pendengar kerana maklumat dapat diakses dengan mudah di hujung jari. Kepantasannya usah disangkal. Itu yang terjadi pada rangkaian CNN pada hari kematian Michael Jackson, apabila kepantasan berita yang tersebar melalui internet lebih pantas dari berita mereka menyebabkan berita kematiannya tidak lagi menjadi outbreak di CNN.
Para usahawan terutamanya, sama ada penjual kain, nasi lemak, VCD, keropok lekor, atau tukang cerita, jangan abaikan makhluk Allah bernama teknologi ini. Sebagai permulaan kita hanya memerlukan secebis rasa ambil-tahu untuk turut serta dalam `marathon' di lebuh raya yang terbentang luas ini. Selanjutnya hanya memerlukan komitmen untuk stay-connected kerana handset sekarang sudah dapat mengambil alih fungsi komputer, kamera video, cermin dan juga lampu suluh.
Setelah sesi berbagi ilmu, sesi menumpang `glamer' pula bersama ikon Awani Prof.Dr. Abu Hassan Hasbullah (Hassan Hayastani)
No comments:
Post a Comment