Saturday, December 25, 2010

Jalan-jalan kesembuhan

Jalan-jalan kesembuhan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW yang berpaksikan KESEMBUHAN ITU DARIPADA ALLAH adalah seperti berikut:

1. Berubat
2. Berdoa / Ruqyah
3. Bertaubat
4. Bersedekah
5. Bernazar
6. Menyambung silaturahim
7. Bangun malam / Qiyamullail
8. Redha

*dipetik dari blog Muallij

Sunday, October 31, 2010

`Pili paip baris ke-4, nombor 17 dari kanan rosak encik..'

Pengalaman beberapa kali menunaikan solat di salah satu masjid yang tersergam indah di Lembah Klang ini betul-betul menarik perhatian saya kerana rekaan ciptaanya yang besar, selesa dan cantik. Tiba-tiba di tempat mengambil wudhu' yang begitu luas itu, saya terfikir bagaimana tukang paip untuk membaiki paip jika salah satu pilinya rosak sebagai contoh. Setiap pilinya masih belum ditanda atau dilabel untuk memudahkannya dikenalpasti. Barangkali pihak penyelenggaraan mempunyai kaedah lain yang terbaik untuk mengenalpasti setiap pilinya jika berlaku aduan kerosakan.

Wednesday, September 29, 2010

Oo.. Cuba-cuba mengintai rahsia Tuhan yer..

Saban hari keluar berita-berita yang memeningkan semua
Berita yang betul-betul berita
Dan juga berita yang menjadi lagenda, mitos dan hikayat
Bak hikayat Merong Mahawangsa

Berita manusia bunuh manusia
Juga berita manusia bunuh binatang
Amat jarang berita manusia dibunuh binatang
Amat semakin jelas manusia membunuh ala-ala binatang
Malah lebih dahsyat dari binatang

Cerita bunuh amat misteri penceritaannya
Kerana yang kena bunuh sudah tidak boleh bercerita
Tinggallah sang pembunuh untuk bercerita
Melalui lidahnya yang satu atau lidah-lidah media
Tak kisahlah lidah sang pembunuh atau media
yang berlidah satu atau bercabang dua tiga

Cerita bunuh boleh melahirkan banyak cerita
Melalui secebis ilmu Tuhan
Lahirlah ilmu forensik, ilmu interogasi, ilmu psikologi,
ilmu-ilmu ini bakal menghimpunkan cerita-cerita
bak filem Vantage Point
tak rugi menontonnya

Bagi aku yang kurang ilmu ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Kenapa begitu mudah dibunuh sebegini
Nafsu apa yang bermula di hati
Dendamkah, khianatkah, tamakkah, atau iri hati?

Bagi aku yang kurang ilmu ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Orang kayakah senang menjadi pembunuh?
Orang kayakah juga senang dibunuh?
Senang kayakah dengan menjadi pembunuh?
Nak kaya kena membunuhkah?
Tak kiralah bunuh hati atau bunuh sampai jadi abu
Inikah satu-satunya jalan untuk menjadi kaya?
Atau salah satu jalan untuk menjadi kaya?

Bagi aku yang kurang ilmu dan harta ini
Akal akan mula merewang-rewang mencari itu dan ini
Teringin juga melihat orang kaya berurusan
Apa yang tersurat dan tersirat
Dengan menjual beli hartanah berjuta-juta ringgit
Dengan menyedia dokumen jual beli berjuta-juta ringgit
Dengan memindah wang dari akaun ke akaun berjuta-juta ringgit
Dengan memandu orang yang berharta berjuta-juta ringgit

Oh.. Maafkan aku Tuhan
Akal ini cuba memandai-mandai mengandai itu dan ini
Yang sememangnya menjadi rahsiaMu Tuhan
Yang Maha Mengerti, Mengadili dan Mengetahui
Hatta sekelumit perasaan terlintas di hati ini

Ya Tuhan
Jauhi kami dari berbunuhan yang membawa dosa
Hatta seandai kami pernah membunuh hati-hati
Ibu bapa kami, keluarga kami, saudara kami, guru kami, rakan kami
Ampunkan kami Tuhan..
Hatta seandai kami membunuh semut
Yang menghurung makanan kami dikira berdosa
Ampuni kami Tuhan..

M. Fakhrurrazy M. Ariff
Kepala Batas 6 Syawal 1431H 05:19

Saturday, August 21, 2010

Bulan yang menyucikan..


Bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkat ini insyaAllah bakal membawa kita berekplorasi menyucikan diri dan harta. Padanya begitu banyak amalan yang dituntut antaranya bersedekah sunat dan bersedekah wajib. Sedekah wajib adalah zakat harta mahupun zakat fitrah. Semoga amalan sedekah ini menyucikan diri dan harta kita..

Friday, June 18, 2010

Tidak susah untuk menghormati agama

Satu peristiwa yang mungkin biasa dialami oleh orang lain tetapi agak istimewa bagi aku untuk dikongsi bersama di sini. Kisah berlaku di gelanggang bowling Kompleks Mutiara Jalan Ipoh ketika Adinda Elin bersama rakannya sedang bermain bowling sebagai latihan persediaan menghadapi satu kejohanan bowling anjuran majikan mereka.

Ketika masuk waktu solat Maghrib, azan di radio telah dimainkan melalui pembesar suara maka seluruh gelanggang semestinya dapat mendengar seruan tersebut. Apa yang ingin disampaikan di sini walaupun saya tidak berada di situ ialah ketika azan dilaungkan suasana terus menjadi sunyi sepi, lane yang berpenghuni berehat seketika, para pengunjung terus mendiamkan diri, termasuk dua lane yang bukan berbangsa Melayu!

Saya terfikir mengapa anak muda bangsa bukan Melayu (persepsi saya bukan beragama Islam) boleh menghormati agama Islam sedangkan masih terdapat segelintir anak muda Melayu beragama Islam yang masih tidak tahu menghormati agama sendiri..

Saturday, June 5, 2010

Cerita-cerita koc merah jambu

KTMB perlu lebih berkesan sebar maklumat penggunaan koc merah jambu

2010/05/12
MERUJUK laporan Lelaki Tak Hirau Koc Merah Jambu yang disiarkan dalam Berita Harian Edisi Sentral 10 Mei lalu.

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana berjaya memperkenalkan koc wanita bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang khasnya golongan wanita daripada risiko gangguan seksual ketika keadaan bersesak-sesak pada waktu puncak. Bagaimanapun, pengguna terutama wanita berasa kecewa kerana menurut laporan itu masih ada lagi pengguna lelaki menggunakan koc itu walaupun pihak KTMB sudah menghebahkannya melalui siaran media, malah menggunakan pelekat dan kain pemidang di tingkap serta pintu tren khasnya di platform menunggu. Sememangnya, sikap tidak kisah dan tidak ambil peduli segelintir pengguna lelaki ini amat mengecewakan.

Sikap segelintir lelaki ini jelas menunjukkan kurangnya rasa tanggungjawab, kesedaran selain hanya mementingkan diri sendiri.

Malah, ada lelaki yang memberikan pelbagai alasan ketika ditegur penumpang wanita dan ada yang tidak ambil peduli ditegur.

Namun, di sebalik pengabaian mereka ini, saya berasakan pihak KTMB juga perlu memperkemaskan unsur komunikasi pemasaran dalam menyampaikan mesej itu kepada pengguna khasnya golongan lelaki.
Apabila melihat pelekat pada tingkap tren seperti yang disiarkan akhbar ini, saya berasakan huruf cetak tulisan rumi yang digunakan adalah kurang sesuai untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.

Huruf yang digunakan mirip kepada jenis ‘script’ yang berlingkar-lingkar dan ‘fancy’ sifatnya.

Amalan dalam komunikasi pemasaran, penggunaan huruf yang sesuai adalah amat penting bagi menarik perhatian pengguna, meningkatkan keupayaan membaca dan menetapkan tona atau mood seperti serius, sedih atau kelakar.

Pendapat saya, mesej yang ingin disampaikan KTMB adalah bersifat serius justeru, tahap keupayaan membacanya perlulah tinggi.

Penggunaan huruf cetak jenis ‘script’ mengurangkan tahap itu selepas mengambil kira juga kesuntukan masa pengguna untuk membacanya dalam suasana bersesak-sesak menaiki tren.

Cadangan saya pihak KTMB boleh menggunakan huruf dari jenis serif atau sans serif seperti courier, bookman, arial atau helvetics atau huruf bersesuaian asalkan natijahnya memudahkan pembacaan dan membawa mood yang serius dan tegas kepada pengguna tren.

Mata kasar saya melihat pelekat itu jelas mempunyai ciri kewanitaan seperti berwarna merah jambu, terdapat grafik wajah wanita dan bunga mawar namun pelekat itu juga perlu difahami oleh golongan lelaki ‘istimewa’ agar tidak memasuki tren khas untuk wanita itu.

M FAKHRURRAZY M ARIFF,
Taman Shamelin Perkasa,
Kuala Lumpur.

Monday, January 4, 2010

Masa sedang bergerak sebenarnya..

Wah.. Sudah lama tidak aku tidak mencoret di sini. Sudah lama barangkali hampir setahun. Alasan aku, lebih banyak bercerita di laman sosial Facebook yang baru dikenali sepanjang tempoh itu, selain alasan sibuk dan sibuk. Hebat betul penangan media baru ini, yang sangat baru bagi aku ini ya..

Banyak cerita-ceriti tahun 2009 yang ditinggalkan penuh dengan suka dan duka. Aku pun sudah lupa cerita-ceritanya terutama yang berlangsung pada awal-awal tahun lalu. Lebih gemar fikiranku berkerja untuk mengingati peristiwa yang masih segar dan indah-indah belaka.

Hmm.. Bagiku kemenangan pasukan bolasepak Malaysia pada Sukan Sea di Laos yang lalu adalah sesuatu yang manis dan segar untuk dikenang. Kemudian beralih pula ke persembahan kreatif dan bertenaga watak penghuni Pandora dalam filem Avatar di panggung Alamanda kepada Gema Zafana di Istana Budaya.

Melangkah masuk tahun 2010 ini dihidangkan dengan satu acahan yang boleh menggegarkan. Entah tak semena-mena berminat pula satu golongan gereja hendak berkongsi nama Allah. Apa yang pasti, kita boleh mendoakan bukan setakat mereka malah seluruh jagat alam ini, hidup aman damai dengan berkongsi alam dan berkongsi fahaman dan amalan dengan menSATUkan Allah yang SATU.

Tahun 2010 ini aku berdoa dan berharap moga kita diberkati dan dirahmatiNya pada setiap helaan nafas seusai bangun dari tidur sehingga tidur semula. Azam? Aku cuba belajar untuk menanam azam secara realistik dan menunaikannya. Ia memerlukan skill yang tinggi, bagi aku.