Saturday, June 5, 2010

Cerita-cerita koc merah jambu

KTMB perlu lebih berkesan sebar maklumat penggunaan koc merah jambu

2010/05/12
MERUJUK laporan Lelaki Tak Hirau Koc Merah Jambu yang disiarkan dalam Berita Harian Edisi Sentral 10 Mei lalu.

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana berjaya memperkenalkan koc wanita bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang khasnya golongan wanita daripada risiko gangguan seksual ketika keadaan bersesak-sesak pada waktu puncak. Bagaimanapun, pengguna terutama wanita berasa kecewa kerana menurut laporan itu masih ada lagi pengguna lelaki menggunakan koc itu walaupun pihak KTMB sudah menghebahkannya melalui siaran media, malah menggunakan pelekat dan kain pemidang di tingkap serta pintu tren khasnya di platform menunggu. Sememangnya, sikap tidak kisah dan tidak ambil peduli segelintir pengguna lelaki ini amat mengecewakan.

Sikap segelintir lelaki ini jelas menunjukkan kurangnya rasa tanggungjawab, kesedaran selain hanya mementingkan diri sendiri.

Malah, ada lelaki yang memberikan pelbagai alasan ketika ditegur penumpang wanita dan ada yang tidak ambil peduli ditegur.

Namun, di sebalik pengabaian mereka ini, saya berasakan pihak KTMB juga perlu memperkemaskan unsur komunikasi pemasaran dalam menyampaikan mesej itu kepada pengguna khasnya golongan lelaki.
Apabila melihat pelekat pada tingkap tren seperti yang disiarkan akhbar ini, saya berasakan huruf cetak tulisan rumi yang digunakan adalah kurang sesuai untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.

Huruf yang digunakan mirip kepada jenis ‘script’ yang berlingkar-lingkar dan ‘fancy’ sifatnya.

Amalan dalam komunikasi pemasaran, penggunaan huruf yang sesuai adalah amat penting bagi menarik perhatian pengguna, meningkatkan keupayaan membaca dan menetapkan tona atau mood seperti serius, sedih atau kelakar.

Pendapat saya, mesej yang ingin disampaikan KTMB adalah bersifat serius justeru, tahap keupayaan membacanya perlulah tinggi.

Penggunaan huruf cetak jenis ‘script’ mengurangkan tahap itu selepas mengambil kira juga kesuntukan masa pengguna untuk membacanya dalam suasana bersesak-sesak menaiki tren.

Cadangan saya pihak KTMB boleh menggunakan huruf dari jenis serif atau sans serif seperti courier, bookman, arial atau helvetics atau huruf bersesuaian asalkan natijahnya memudahkan pembacaan dan membawa mood yang serius dan tegas kepada pengguna tren.

Mata kasar saya melihat pelekat itu jelas mempunyai ciri kewanitaan seperti berwarna merah jambu, terdapat grafik wajah wanita dan bunga mawar namun pelekat itu juga perlu difahami oleh golongan lelaki ‘istimewa’ agar tidak memasuki tren khas untuk wanita itu.

M FAKHRURRAZY M ARIFF,
Taman Shamelin Perkasa,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment