Friday, December 5, 2008

Hujan yang menerbangkan payung, merapatkan jemaah

Sungguh lama tidakku mendengar khutbah yang sedemikian `berapi-api' dan menyentuh segenap rasa hati dan otakku. Khutbah Jumaat yang aku maksudkan, bukan khutbah pilihanraya Anwar Ibrahim (Dato' Seri) atau kempen Obama mahupun Osama.

Itulah kelebihan khatib tadi yang mampu memberikan khutbah dengan penuh bersemangat, membangunkan jemaah yang terlena ditambah pula matanya yang asyik berhubung tanpa melihat teks khutbah. Pada mulanya mahu juga kulayan mata yang semakin meredup, tetapi bila mendengarkan khatib yang perlahan-lahan memasuki high-gear sampai ke penghabisan khutbah aku terus terghalit dengan penyampaiannya.

Ligat otakku berfikir alangkah baiknya kalau ramai khatib yang boleh `berpenampilan' segar dan bersemangat menyampaikan khutbah. Alangkah baiknya kalau ada sesekali Jabatan Agama Negeri membenarkan masjid membenarkan khatib membenarkan jemaah melayan khutbah tanpa tidur dengan mendengar khutbah disampai tanpa membaca teks. Bukan apa, kadang-kadang keterikatan yang kuat kepada teks akan menyebabkan khutbah dirasa begitu jauh dan membuai jemaah sampai terlelap.

Bila difikir-fikir, indahnya Islam mengatur aturan hidup umatnya untuk kembali mengingati Allah, kembali bertaqwa kepadaNya. Dengan kewajipan solat berjemaah di hari Jumaat kepada kaum lelaki, paling kurang seminggu sekali kaum pemimpin ini akan diceritakan kehebatan Allah, diajak bertaqwa oleh khatib kepada para jemaah dan dirinya jua. Paling kurang seminggu sekali kaum pemimpin ini akan berasa gerun kepada Penciptanya mahupun berasa cinta untuk berdamping denganNya. Bagaimana kaum lelaki ini hendak membawa kisah gerun akan Pencipta ataupun kisah cinta agung ini, sebagai bekalan seminggu kepada anaknya, isterinya mahupun pekerjanya, jika khutbah yang diseru tidak pun meresap ke dalam jiwa?

Itulah ceritanya. Pengalaman mendengar khutbah Jumaat di masjid yang berposkod Kuala Lumpur tetapi diselia oleh pihak berwajib negeri Selangor. Teringat juga aku cerita lampau ketika Ust. Shukri berkhutbah tanpa teks di masjid dekat Bangsar, tatkala di pertengahan khutbahnya dia menyeru para jemaah di luar masjid agar segera masuk ke dalam kerana hujan mulai turun dengan lebat. Termasuklah geng-geng promoter zakat yang basah kuyup dek hujan lebat yang menerbangkan payung dan membasahkan risalah-risalah rukun Islam ketiga itu. Hujan yang membawa rahmat, sempena kelulusan masjid membenarkan Ust. Shukri berkhutbah, barangkali.

No comments:

Post a Comment